Wacana Ilmu

Wacana Ilmu

Isu Pekerja Masa Kini

    Manusia dan masalah saling berhubungan kerana kebanyakan isu yang timbul dalam kehidupan seharian berpunca dari sifat dan sikap manusia itu sendiri Abdul Ghaffar et.al (2013). Antara sikap manusia tyang menyumbang kepada kelahiran masalah adalah adalah manusia bersifat lemas seperti yang dihuraikan dalam surah Al-Ma’arij: 19 – 21, manusia juga bersifat tergopoh-gopoh. keluh kesah dan kikir seperti yang dinayatakan dalam surah al-Anbiya’: 7, manusia sukar menerima kelemahan dan kesilapan diri sendiri, manusia berkeinginan kepada benda dan harta, bertanggungjawab atas perlakuan sendiri dan ingat masa susah, lupa masa lapang.

    Amran (2011) menyatakan masyarakat masa kini sentiasa berhadapan dengan pelbagai masalah dalam kehidupan seharian kesan daripada konflik yang timbul dalam diri dan persekitaran. Konflik yang dihadapi seseorang individu ini banyak berpunca daripada tekanan tanpa pengawalan positif sama ada dari faktor dalaman dan luaran (Amran & Khairiah, 2014). Keadaan ini akan mengganggu kesejahteraan insan dan petanda generasi kini sedang mengalami cabaran sosialisasi serta berada dalam persekitaran kesakitan mental yang menjejaskan kehidupan seharian. Hasil kajian Amran & Khairiah (2014) di Pejabat Setiausaha Pahang mendapati terdapat semakin tinggi tahap tekanan semakin kurang kesejahteraan yang dialami seseorang. Ia selari dengan kajian (Casey, 2011) yang turut menjelaskan kawasan persekitaran kerja merupakan sumber tekanan golongan muda berbanding golongan tua. Dapatan kajian juga menunjukkan persekitaran tempat kerja mempengaruhi kesejahteraan seseorang tanpa mengira jantina. Disamping itu, data kajian menunjukkan tahap tekanan bergantung kepada bagaimana seseorang itu mengendalikan tekanan yang dihadapi dan bukan bergantung kepada tahap pendidikan seseorang. Oleh itu, dari kajian ini dapat dirumuskan peranan tahap tekanan mempengaruhi kesejahteraan umum dalam kalangan responden pengkaji.

    Mahmood (2014) menyatakan tekanan telah dikenalpasti sebagai punca kepada hampir semua masalah dan kecelaruan psikologi. Seorang yang mengalami tekanan umpamanya akan mengalami kemurungan, kesedihan, kerunsingan, dan beberapa masalah psikosomatik. Cox (1979) dalam Mahmood (2014) menyatakan tekanan hidup atau ‘stress’ yang berasal dari perkataan Greek ‘stringere’ yang bermaksud ‘ketat’ atau ‘tegang’. Faktor tekanan terdiri daripada beberapa faktor utama seperti berikut;

  • Kekecewaan; kekecewaan akan berlaku apabila sesuatu motif atau kehendak tidak dapat dicapai ataupun tidak dapat dipuaskan.
  • Konflik; konflik berlaku apabila dua atau lebih motif tidak dapat dipuaskan kerana yang satu itu menggangu yang lain.
  • Emosi; ketakutan dan anxieti merupakan dua punca tekanan yang dimasukkan dalam kategori punca-punca emosi.
  • Masalah keluarga; masalah bukan sahaja timbul dari dalam keluarga malah ia dipengaruhi faktor luaran. Interakaksi dan komunikasi yang kurang dalam ahli keluarga menjejaskan keharmonian sesebuah keluarga.
  • Tekanan sosial; ia terhasil dari inetraksi manusia dengan manusia lain dan alam sekitarnya. Tahap tekanan yang dialami berbeza daripada setiap individu.
  • Tekanan tempat kerja; kebanyakan tekanan terhasil dari tempat kerja (Mahmood, 2014). Isu tekanan kerja menjadi aspek penting dalam pengurusan organisasi.
  • Penggunaan bahan; bahan-bahan yang sering digunakan untuk melepaskan diri dari tekanan adalah punca tekanan yang utama seperti arak dan rokok yang jelas membahayakan nyawa seseorang.

    Mahmood (2014) menunjukkan kesalingan tindak balas antara tekanan kerja dan peribadi. Punca tekanan di tempat kerja bergantung kepada tahap kepada kerentaan seseorang pekerja terhadap tekanan. Bagi pekerja yang mengalami tahap kerentaan yang tinggi terhadap tekanan, maka ia sering meghadapi tekanan jiwa. Kuantiti beban kerja yang berlebihan sama ada dari aspek kuantitatif daan kualitatif akan mendorong kepada tekanan boleh menjejaskan kesihatan dan mengundang penyakit. Sementara itu, beban kerja yang kurang juga akan menyebabkan tekanan kepada pekerja dengan menilai kebolehannya aau kesilapan yang pernah dilakukan. Tekanan tekanan psikologi ini lebih berat jikalau dibandingkan dengan dengan tekanan yang disebabkan kerja yang berlebihan. Dalam keadaan tertentu, tekanan psikologi lebih teruk daripada tekanan fizikal di tempat kerja.

    Andy (2008) pula mendapati terdapat hubungan yang signifikan antara tekanan kerjaya dan keluarga dengan luapan emosi. Kajian yang dijalankan kepada tenaga kerja di Universiti Malaysia Sabah itu menunjukkan tahap kesibukan dalam melaksanakan tugas rasmi menyebabkan warga akademik tidak mempunyai cukup masa untuk mengurus isu berkaitan rumah, melakukan aktiviti peribadi, hobi, riadah, dan memberi sedikit tekanan kepada mereka. Ia selari dengan teori Meijman & Mulder (1998) yang menerangkan perhubungan diantara kehendak pekerjaan, gangguan kerjaya-keluarga dan reaksi tekanan. Aplikasi teori ini dalam bidang emosi pekerja menunjukkan bahawa kehendak pekerjaan yang tidak diurus dengan baik mampu meningkatkan masalah gangguan kerjaya-keluarga dan mendorong kepada terjadinya pengaruh emosi negatif.

    Zakaria Ismail et.al (2003) menyatakan terdapat empat dimensi pekerja yang bermasalah dalam organisasi yang terdiri daripada masalah prestasi kerja, sikap, disiplin dan kelakuan negatif semasa di tempat kerja. Majikan atau pengurus perlu menangani setiap isu dan perilaku staf yang bermasalah atau negatif bagi mengelakkan kesan yang lebih buruk pada organisasi. Walaupun dalam kajiannya, tindakan yang diambil oleh pengurus kadangkala tidak memberi impak kepada si pelaku, ia tetap memberi kebaikan kepada pengurusan organisasi. Tindakan majikan yang mengikut tahap seperti, nasihat, amaran, mahupun buang kerja perlu dilakukan mengikut kesesuaian agar ia memberi kebaikan kepada organisasi mahupun hubungan majikan pekerja. Tindakan majikan mula bergantung sejauh mana tahap masalah yang ditimbulkan pekerja. Dalam kajian ini wujud korelasi antara persepsi masalah dengan tindakan yang diambil oleh pengurus. Contohnya masalah prestasi kerja yang dianggap ringan berbanding yang lain akan diambil tindakan menasihat termasuk tindakan kaunseling, tunjuk ajar dan sebagainya.Walaupun artikel ini tidak membincangkan secara langsung kaitan antara masalah psikologi pekerja menyumbang kepada pembentukan pekerja bermasalah, namun ia boleh menjadi rujukan kepada pengkaji bahawa akan wujud kemungkinan masalah psikologi menjadi punca atau pencetus kepada pekerja yang bermasalah.

    M.M. Zafir & M.H. Fazilah (2006) dalam kajiannya menyatakan keadaan dan persekitaran kerja dan beban kerja menjadi punca utama kepada stress di tempat kerja. Ia selari dengan pendapat Manshor et.al (2003), Clark J (2002), dan Manshor (2000). Stres di tempat kerja memberi implikasi kepada keselamatan dan kesihatan pekerja kerana terganggunya psikologi dan fisiologi seseorang individu. Gangguan yang berpanjangan akan menyebabkan masalah psikologi seperti kemurungan dan burnout yang boleh menjejaskan tumpuan perkerja terhadap kerja dna peningkatan kadar kemalangan. Dari segi fisiologi, stres akan melemahkan sistem pertahanan badan dan mengundang penyakit seperti darah tinggi, sakit jantung, muskuloskeletal, masalah kesihatan juga akan berlaku kesan stres termasuklah ketegangan mata, telinga berdengung, batuk yang teruk, sakit dada, masalah perut, sakit kepala dan ketidakselesaan. Isu kesihatan dan kemalangan dalam kalangan pekerja disebabkan stres pastinya menambah kos perbelanjaan kesihatan dan keselamatan pekerja yang akan memberi impak kepada produktiviti sesebuah organisasi. Di United Kingdom, tuntutan berhubungan kecederaan dan kesakitan akibat stress di tempat kerja meningkat sebanyak 33% pada tahun 2000. Sementara itu, di Great Britain, stres di tempat kerja mengakibatkan kehilangan hari bekerja sebanyak 13.4 juta hari dalam setahun akibat daripada ketidakhadiran yang membawa anggaran kerugian 3.8 bilion euro kepada ekonomi negara tersebut.

    Sapora Sipon et.al (2013) menyatakan stress memberi kesan kepada individu seperti menarik diri, sikap tidak peduli, obsesi, penggantian, rasionalisasi, gangguan fizikal, dan tindak balas khayalan. Stres yang melampau akan menyebabkan individu menghadapi masalah kesihatan. Individu yang mengalami stres biasanya menerima kesan seperti timbulnya penyakit. Nrown (1984) menyatakan selain masalah kesihatan, penyakit yang dialami akan bertambah buruk berpunca dari stress. Sumber stress terbesar menurut Mahmood (2001) berpunca dari tempat kerja. Stres di tempat kerja adalah spesifik dan bergantung kepada daya tahan seseorang. Ia bukan sahaja boleh menjejaskan emosi, malah boleh menurunkan prestasi. Disamping itu, keluarga juga boleh menyumbang kepada stres. Keluarga boleh memberi kesan yang mendalam terhadap prestasi di tempat kerja. Perkahwinan boleh berakhir dengan penceraian. Apabaila berlaku penceraian, ia secara tidak langsung melahirkan ibu bapa tunggal yang memburukkan keadaan. Mereka bukan sahaja sibuk di tempat kerja malah uruskan anak.

    Berdasarkan kajian Azlina Kosnin (2008) menyatakan penurunan tahap kepuasan kerja guru boleh dikaitkan dengan peningkatan kadar stres. Menurutnya, penurunan tahap kepuasan kerja para guru boleh mengakibatkan kemerosotan mutu kerja, peningkatan kecelaruan psikologi dan stres kerja dalam kalangan guru. Aspek-aspek ini boleh mempengaruhi semangat, motivasi dan kesanggupan guru-guru untuk memaksimumkan potensi pengajaran mereka. Keupayaan tidak hanya bergantung kepada kemahiran dan kebolehan sahaja tetapi kepuasan kerja juga akan mempengaruhi prestasi dan seterusnya dikaitkan dengan kecemerlangan produktiviti (Mohd Zaini Salleh, 2005). Sehubungan itu, tahap kepuasan kerja mempengaruhi emosi dan tingkahlaku personel. Adalah penting sesebuah organisasi mengetahui sejauhmana tahap kepuasan kerja personel agar penambahbaikan boleh dilakukan bagi memastikan personel seronok apa yang mereka lakukan saban hari dan meningkatkan produktiviti organisasi. Menurut Rohaidah Ishak (2015) individu yang berpuas hati dengan kerjanya menyumbangkan pulangan yang positif kepada organisasi seperti persaraan awal yang rendah, ketidakhadiran yang rendah dan tahap komitmen yang tinggi kepada organisasi. Kepuasan kerja dan burnout menunjukkan kesinambungan tingkah-laku yang kuat di mana apabila kepuasan kerja meningkat, burnout menunjukkan jumlah skor yang rendah. Oleh itu, bagi mengelak daripada berlakunya burnout, kepuasan kerja individu perlulah dipenuhi (Rohaidah Ishak, 2015). Oleh itu, perkara menarik yang boleh diberi perhatian adakah kepuasan kerja yang rendah mempunyai kaitan dengan masalah psikologi serta memberi kesan kepada organisasi.

    Kajian Beddu et.al (2014) seterusnya menunjukkan individu yang mempunyai tahap Psikology Capability (Modal Psikologi) dan stress kerja berkorelasi secara sederhana. Pekerja yang mempunyai tahap PsyCap dan psikologi positif yang tinggi mempunyai keyakinan untuk berjaya dalam usaha menghadapi cabaran tugas, membuat atribusi positif mengenai kejayaan mereka pada masa kini dan masa hadapan, mereka tekun dan bersungguh-sungguh ke arah matlamat dan apabila perlu mereka boleh mengalihkan haluan kepada matlamat mereka dalam usaha untuk mencapai sesuatu matlamat tersebut dengan jayanya. Kajian Beddu (2014) ini selaras dengan kajian Avey et al., (2009), Youssef et.al., (2007) yang menyatakan individu yang mempunyai PsyCap yang positif akan berkemampuan untuk menghadapi masalah atau kesukara yang dihadapi. Jika dibandingkan dengan individu yang mempunyai tahap PsyCap yang rendah ia adalah sebaliknya, mereka mudah merasa tertekan dan sukar mengawal situasi menghadapi sesuatu cabaran tugas yang diberikan. Menurut Ong et. al (2006), emosi positif merupakan ciri-ciri yang boleh dipertingkatkan dengan tahap psikologi positif seperti PsyCap mempunyai fungsi perlindungan dan pemulihan, menjaga daripada emosi negatif. Hubungan PsyCap dan komponennya dengan stres kerja dapat menerangkan bahawa hubungan antara ketahanan dengan stres kerja menunjukkan individu yang rendah ketahanan cenderung menghadapi kesukaran mengawal emosi negatif dan seterusnya bertindakbalas kepada peristiwa yang penuh stres (Ong et al., 2006).

    Dalam kajian Fadzil Che Din (2009) kepada kakitangan awam di sembilan jabatan kerajaan dengan responden seramai 170 orang. Beliau telah menyusun urutan keutamaan mengikut kategori masalah. Tiga jenis masalah yang paling utama dihadapi oeh responden ialah masalah kewangan (142 skor), diikuti masalah berkaitan situasi kerja (136 skor), dan masalah berkaitan organisasi (122 skor). Ketiga-tiga masalah ini amat ketara dihadapi oleh responden iaitu lebih dua kali ganda berbanding empat jenis masalah yang berikutnya seperti masalah emosi (57 skor), masalah kerja berkumpulan (52 skor), masalah berkaitan kebijaksanaan dan pengetahuan kerja (48 skor), dan masalah berkaitan masyarakat (42 skor). Kajian ini juga mendapati tiga jenis masalah yang paling kurang dihadapi oleh responden iaitu masalah berkaitan motivasi (36 skor), masalah berkaitan fizikal (20 skor) dan masalah berkaitan keluarga (15 skor). Fadzil Che Din (2009) juga menganggarkan dalam seumur hidup lebih kurang 25% daripada populasi akan mengalami masalah psikiatri. Dalam tempoh tertentu hampir 25% daripada jumlah tenaga kerja akan mengalami masalah perlakuan atau kesihatan dimana separuh hingga tiga suku adalah dikesan menyebabkan prestasi yang buruk di tempat kerja. Di sebalik masalah yang timbul, cara mengatasinya selain daripada perubatan dan model rawatan psikologikal, rawatan secara kaunseling telah terbukti berkesan. Namun begitu, terdapat beberapa halangan dalam memastikan perkhidmatan ini sampai kepada golongan sasar kerja terdapat salah tanggapan terhadap perkhidmatan kaunseling disebabkan budaya masyarakat Asia yang sukar berkongsi masalah yang dianggap secara peribadi.

    Oleh itu, masalah pekerja merupakan agenda yang perlu diselesaikan menggunakan sesuatu kaedah tertentu. Jika dibiarkan, ia mungkin menyulitkan dan seterusnya menjadi lebih serius. Tambahnya lagi, masalah memerlukan penyelesaian meliputi aspek-aspek dalam kategori senarai semak pekerja iaitu kebijaksanaan, pengetahuan tentang kerja, masalah emosi, masalah motivasi, masalah kerja berkumpulan, masalah fizikal, masalah berkaitan keluarga, masalah organisasi, masyarakat, masalah kerja dan masalah kewangan. Perkhidmatan kaunseling adalah salah satu cara untuk menangani masalah manusia. Dapatkanlah perkhidmatan kaunseling dari kaunselor berdaftar.

Disediakan oleh;
Johari bin Md Salim
Unit Kaunseling BSM