Kajian/ Jurnal/ Artikel

Kajian/ Jurnal/ Artikel

Ibarat kain yang bersih

    Anak merupakan aset berharga dalam sesebuah keluarga yang merupakan sebahagian daripada hasil perkongsian antara suami dengan isteri. Istilah perkongsian itu sendiri memberi makna intimnya perhubungan kedua insan yang berlear ‘suami’ dan isteri’. Hasil dari perkongsian ini memancarkan pelbagai harapan dalam kehidupan (Muhamad Bakir dan Khatijah Othman, 2010). Dalam sistem keluarga, anak memainkan peranan besar dalam kejayaan sesebuah keluarga. Sistem keluarga tradisional mahukan bilangan anak yang ramai. Anak yang masih kecil akan dilayan dengan sebaiknya sehinggalah mencapai tahap kematangan.

    Dalam fasa kehidupan seorang dewasa pastinya akan melalui tahap-tahap ini peringkat demi peringkat hingga saat manusia kembali kepada tuhannya pada waktu yang ditetapkannya. Peringkat tersebut adalah bayi, awal kanak-kanak, akhir kanak-kanak, remaja, awal dewas pertengahan dewasa, akhir dewasa, dan fasa selepas kematian. Pakar psikologis telah mengenalpasti beberapa sifat peringkat-peringkat perkembangan yang boleh membezakan satu tahap dengan tahap yang lain seperti kehadiran sesuatu tiingkahlaku yang dominan dan perubahan tingkahlaku secara kualitatif dan jelas (Mahmood Nazar, 2014). Harus diketahui, semua manusia mesti melalui semua peringkat perkembangan yang sama serta dalam susunan yang sama juga. Dalam penulisan ini akan memberi fokus tahap perkembangan bayi dari pelbagai aspek.

    Bayi manusia secara fitrahnya memerlukan bantuan untuk hidup. Pada masa ini bayi tidak boleh bergerak, meniara, bercakap atau berkomunikasi dengan orang lain. Dia hanya berupaya mengagis apabila lapar, panas, sejuk dan lain-lain. Keperluannya juga perlu dipenuhi bagi membantu tumbesaran anak. Misalnya keperluan untuk tidur yang cukup sekitar 20 jam sehari. Bayi juga memerlukan makanan tiap-tiap tiga jam semasa dilahirkan dan amsa perantaraannya masih meningkat.


Teori-Teori Perkembangan Bayi

    Perbincangan berkaitan manusia akan lebih jelas dan terperinci apabila meneliti teori-teori perkembangan. Ada pelbagai teori yang dikemukakan sarjana bagi mengupas perkembangan manusia. Dalam penulisan ini, dikongsikan teori perkembangan berkaitan kognitif, kematangan, psikososial dan psikoseksual.


Teori Perkembangan Kognitif (Jean Piaget)

    Jean Piaget mendapati kemampuan mental manusia muncul di tahap tertentu dalam proses perkembangan yang dilalui. Menurut beliau lagi, perubahan daripada satu peringkat ke satu peringkat seterusnya hanya akan berlaku apabila kanak-kanak mencapai tahap kematangan yang sesuai dan terdedah kepada pengalaman yang relevan. Tanpa pengalaman-pengalaman tersebut, kanak-kanak dianggap tidak mampu mencapai tahap perkembangan kognitif yang tinggi. Oleh yang demikian, beliau telah membahagikan perkembangan kognitif kepada empat tahap yang mengikut turutan umur. Menurut Piaget, dari usia bayi hingga 2 tahun mereka berada pada tahap Sensorimotor atau deria motor. Pada tahap ini, bayi melihat kepada hubungan antara badannya dengan persekitaran. Kebolehan deria motornya berkembang dari semasa ke semasa. Bayi tersebut mempelajari tentang dirinya dengan melihat, menyentuh, dan mendengar di sekelilingnya kemudian menirunya. Kebolehan untuk meniru tingkah laku dikenali sebagai pembelajaran melalui pemerhatian (Mussen dan Kagan, 1974). Dalam perkembangan sensorimotor ini, terdapat enam sub tahap yang dikategorikan dengan melihat perkembangan kebolehan tertentu pada umur yang tertentu.

    Dari lahir hingga satu bulan Bayi hanya mampu melakukan gerakan pantulan. Gerakan pantulan yang diwujudkan lahir melalui tingkah laku pendengaran, penyusunan, gerakan tangan (genggaman dan sebagainya), penyesuaian, pandangan, pergerakan mata dan sebagainya. Gerakan ini belum dapat ditentukan perbezaannya. Sebahagian besar daripada gerakan ini dilakukan ialah untuk keperluan tertentu atau hanya sebagai gerakan pantulan sahaja. Sementara itu, bayi berumur sebulan hingga empat bulan mengalami pencapaian untuk penyesuaian dan berlakunya reaksi sekular. Bayi mula mempunyai pengertian tentang bahagian badannya yang tertentu. Pada tahap ini pengalaman memainkan peranan yang penting untuk pembentukan tingkah laku kanak-kanak. Pengalaman boleh didapati daripada perkembangan di tahap pertama. Pergerakan sistem sensori mula diselaraskan dengan sistem pandangan dan gerakan tangan. Apabila mendengar sesuatu bunyi, bayi akan menggerakkan kepala dan matanya ke arah punca sumber bunyi. Contohnya, sekiranya bayi tersebut melakukan sesuatu tingkah laku yang ganjarannya akan mendapat menyeronokkan atau menyenangkan, dia akan mengulangi tingkah laku itu lagi.

    Pada umur empat hingga lapan bulan berlakunya reaksi sekular kedua. Di tahap ini bayi mempunyai persediaan untuk membuat pandangan dan pemerhatian yang lebih. Kebanyakan tingkahlaku bayi dihasilkan daripada sesuatu proses pembelajaran. Bayi telah dapat melakukan tingkah laku baru seperti mengambil sesuatu barang lalu menggerakkannya. Di waktu ini, bayi boleh membuat tanggapan tentang objek dalam tangannya. Contohnya, bayi itu sengaja memasukkan barang mainan ke dalam mulut dengan tujuan untuk mengetahui atau mengenali barang tersebut. Kemudian, pada umur lapan hingga dua belas bulan wujudnya reaksi kordinasi. Ia dikatakan sebagai masa pengukuhan di mana keadaan yang wujud sebelumnya disesuaikan di antara satu sama lain. Pada tahap ini, perkembangan mental bayi sudah dapat dikatakan sebagai sebagai berada di tahap perkembangan daya kognitif dan kebolehan mental asas pada bayi. Bayi sudah mengetahui sebab akibat sesuatu keadaan berlaku. Contohnya, apabila menggoncangkan sesuatu alat mainan, ia akan berbunyi.

    Seterusnya, umur dua belas bulan hingga lapan belas bulan fasa reaksi sekular ketiga. Pada ketika ini, penemuan makna baru melalui pengalaman yang dilalui oleh bayi berlaku secara aktif. Bayi memerlukan kecepatan untuk melahirkan keseluruhan rangkaian tingkah laku apabila berada di dalam sesuatu situasi baru. Pada tahap ini, bayi memperlihatkan kemajuan yang pesat berhubung dengan pemahaman sesuatu konsep dan telah mempunyai konsep yang kukuh tentang sesuatu objek. Bayi juga mengalami proses cuba jaya tetapi dalam keadaan yang mudah. Contohnya, kanak-kanak ini akan mencuba pelbagai bunyi dan tingkah laku untuk mendapatkan perhatian.

    Pada fasa umur lapan belas bulan hingga dua tahun pula tahap penggambaran pemikiran awal. Berlakunya kombinasi mental di mana kanak-kanak mula mempunyai keupayaan untuk memahami aktiviti permainan dan fungsi simbolik. Pada ketika ini, kanak-kanak dapat mengatasi masalah kaedah cuba jaya dan dapat membezakan jenis-jenis tingkah laku peniruan yang diperhatikan. Selain itu, kanak-kanak juga telah mengetahui tentang peranan jantina.


Teori Kematangan (Arnold Lucius Gesell)

    Beliau mempercayai bahawa baka adalah faktor yang paling penting dalam menentukan perkembangan kanak-kanak. Gesell (1949) meyakini bahawa corak perkembangan seseorang dikawal oleh faktor kematangan. Ini bererti selagi otak, tisu, dan sarf serta anggota badan kanak-kanak tidak bersedia, maka sesuatu kemahiran yang diajar tidak memberi manfaat kepada bayi. Beliau berpandangan, lima tahun pertama adalah perkembangan yang sangat penting seperti berikut; Peringkat pertama (kosong hingga satu tahun). Kematangan emosi berlaku pada umur satu bulan kerana seorang bayi dapat menghasilkan tangisan yang berlainan untuk menhataka kemahuannya (kamarulzaman, 2011). Selaian itu, bayi mampu untuk senyum dan ketawa gembira apabila seseorang dewasa berinteraksi dengannya. Sekitar umur empat bulan, koordinasi fizikal semakin matang dan bayi sudah menggerakkan mata mengikut objek bergerak. Pada tahap ini, perkembangan yang berlaku mengikut mekanisme kawalan kendiri.

    Peringkat kedua (satu hingga dua tahun). Kematangan fizikal dan mental makin meningkat. Bayi sudah mula untk mengungkap Bahasa dan perkataan yang mudah. Mereka juga boleh mengenalai perbezaan emosi yang ditunjukkan oleh ibu bapanya. Bagi bayi yang sudah mula berjalan dan berlari biasa berlaku di akhir peringkat ini. Bayi tersebut telah menunjukkan kematangan fizikal yang lebih cepat.


Teori Psikoseksual (Sigmund Freud)

    Freud percaya manusia dipengaruhi masa lampau terutama enam tahun pertamayang dibentuk dari pemikran sedar, prasedar dan tidak sedar. Integrasi antara id, ego dan superegomembentuk personality manusia. Id adalah naluri, ego merupakan struktur dalam yang dibentuk dari pengalaman dan realiti. Super ego merupakan nilai dan norma masyarakat. Beliau menyatakan manusia berkembang pada lima peringkat iait oral, anal, falik, latensi dan genital. Bagi usia bayi mereka berada pada tahap oral.

    Peringkat Oral (kosong – 18 bulan) peringkat ini bermula sejak lahir sehingga bayi mencapai umur 18 bulan. Pada peringkat ini mulut dan bibir merupakan zon erotik yang aktif. Bayi banyak menumpukan perhatian kepada aktiviti menyusu daripada ibunya dan aktiviti ini merupakan punca keseronokan atau kepuasan seks yang utama bagi bayi. Tindakan menyusu ini boleh dibahagi kepada dua jenis iaitu, oral incorporative dan oral aggressive.

    Tindakan oral incorporative adalah tahap awal penyusuan bayi bermula sejak lahir hinggalah bayi itu mula tumbuh gigi susunya. Ada bayi yang mendapat kepuasan dan ada juga yang tidak mendapat kepuasan melalui tindakan ini. Bayi yang tidak mendapat kepuasan daripada tindakan ini diakatakan mengalami lekatan (fixation) dala proses perkembangan hidupnya apabila dewasa nanti. Lekatan dewasa akan terjadi seperti mengunyah, suka bercakap, suka hisap rokok, suka minum atau cakap banyak.

    Bayi mula memperihatkan sifat agresif apabila gigi mula tumbuh. Tahap yang kedua berlaku pada peringka oral ini dikenali sebagai oral agresif. Basanya kanak-kanak gigit payudara ibunya. Lekatan pada era dewasa seperti berleter, sindiran, mengumpat, atau pandangan-pandangan yang menyakiti hati orang lain. Pada peringkat ini, bayi perlu dipenuhi keperluan fisiologinya dengan penuh kasih saying. Bayi yang tidak merasa kepuasan mulut dan bibir akan menyebabkan berlaku kesan yang negatif apabila dewasa nanti.


Teori Psikososial (Eric Erikson)

    Beliau telah menegaskan pengaruh sosial dan budaya atas pembentukan personalitiseorang itu. Erikson menyarankan lapan peringkat perkembangan manusia di sepanjang hayat. Setiap peringkat dipengaruhi oleh dua faktor yang bertentangan iaitu daripada layanan dan pengalaman yang diterima oleh seseorang dan kejayaan di dalam sesuatu peringkat membolehkan seseorang itu mencapai kejayaan di dalam peringkat yang berikutnya iaitu;

Bil Peringkat Perkembangan Umur
1 Kepercayaan lawan ketidakpercayaan 0 hingga 18 bulan
2 Autonomi lawan rasa malu 18 bulan hingga 3 tahun
3 Inisiatif lawan rasa bersalah 4 tahun hingga 6 tahun
4 Ketekunan lawan rasa rendah diri 6 tahun hingga 11 tahun
5 Identiti lawan kekeliruan identiti 12 tahun hingga 18 tahun
6 Kerapatan lawan pengasingan 18 tahun hingga 35 tahun
7 Generavity lawan pemusatan kendiri 35 tahun hingga 60 tahun
8 Kesepaduan lawan putus asa 60 tahun ke atas

    Perhubungan antara ibu dan bapa dengan bayi sangatlah penting kerana bayi bergantung kepada ibu bapa untuk mendapat layanan yang baik seperti diberikan makan yang cukup, mendapat kasih sayang dan diterima dengan perasaan mesra dan sebagainya. Sekiranya keperluan bayi dapat diterima dengan baik maka ia akan menjadi seorang yang berkeyakinan, mempunyai rasa terselamat, dan bersifat optimis. Sebaliknya bayi yang tidak mendapat layanan yang sepatutnya akan menghasilkan sahsiah yang berasa tidak selamat dan tidak mempercayai alam sekelilingnya. Oleh itu, untuk mengatasi konflik, maka ibu bapa atau penjaga hendaklah memupuk kasih saying, perhatian, kemesraan dan layan yang baik. Tahap pertama psikososial berlaku pada waktu yang sama dengan peringkat mulut teori psikoseksual freud dan tahap-tahap deria-motor teori kognitif piaget. Menurut Mahmood Nazar (2014) pada tahap pertama ini, bayi mengalami konflik di antara mempercayai dan tidak mempercayai alam sekelilingnya. Masyarakatnya pada masa ini ialah penjaga, sama ada si ibu, si bapa ataupu orang lain. Jika kehendak-kehendak bayi dipenuhi seperti mendapat makanan, perhatian, kasih saying dan pelabagi stimulasi yang lain dengan secukupnya, maka dia akan memperolehi harapan untuk terus hidup. Pandangan percaya atau tidak percaya terhadap dunia semasa dia dewasa mempuyai asas pada tahap ini.

TAHAP-TAHAP PERKEMBANGAN BAYI

    Setiap yang hidup mengalami perubahan mengikut proses pertumbuhan dan perkembangan. Perkembangan adalah perubahan yang bersifat kualitatif iaitu sifat perubahan yang tidak dapat diukur secara kuantiti tetapi ternyata perubahan sudah berlaku yang melihatkan sifat berlainan daripada peringkat yang terdahulu. Arnold Gesell (1949) menyatakan, walaupun tidak ada dua individu yang benar-benar serupa, secara global semua bayi yang normal cenderung mengikut susunan pertumbuhan yang biasa dilalui oleh bayi.

    Perkembangan bayi dapat dilihat dari segi fizikal dan kognitif. Perkembangan kognitif bayi menjelaskan tentang perubahan dari segi tahap pemikiran mereka dalam pembelajaran sesuatu bidang ilmu dan pengalaman yang diperolehi yang sentiasa berubah-ubah mengikut usia. Pelbagai teori dan model telah dikaji bagi menerangkan tentang perkembangan kognitf bayi. Teori kognitif menekankan tentang pentingnya proses pemikiran dalam pemlbelajaran dan memberi perhatian kepada pengaruh faktor dalaman.

    Terdapat beberapa tokoh yang telah mengemukakan pendapat mereka berkaitan dengan teori perkembangan kognitif ini antaranya ialah ahli psikologi Jean Piaget, Arnold Gesell, Robert Havighhurst, Erikson dan Lawrence kohlber. Teori dan kajian mereka bertumpu kepada bagaimana maklumat diproses di dalam otak, bagaimana mendapatkannya semula, bagaimana bayi melalui proses membuat keputusan dan menyelesaikan masalah.Perkembangan bayi juga diukur daripada pertumbuhan dan perkembangan fizikalnya. Bayi baru lahir akan diukur berat dan tingginya untuk dicatatkan dalam carta supaya boleh dijadikan rujukan. Perkembangan bayi ini, merangkumi 4 asas utama iaitu perkembangan fizikal, kognitif, sosial emosi dan bahasa.


Perkembangan Fizikal /Psikomotor

    Perkembangan fizikal merupakan satu aspek asas yang menekankan asas pertumbuhan dan pembesaran kanak kanak dalam keadaaan sihat, selamat dan ceria. Selain itu juga perkembangan bayi dari segi fizikal juga merupakan suatu proses perkembangan yang melibatkan interaksi antara kematangan bayi dan aktiviti pembelajaran yang dilalui oleh bayi tersebut. Menurut Wright dan Sugden (1999) dalam model peralihan, mereka mengaitkan kematangan individu dengan proses pembelajaran dan pengalaman. Bayi juga akan mengalami perubahan dari segi bentuk dan saiz; kebolehan mengawal pergerakan motor kasar dan halus serta koordinasi anggota badan. Motor kasar berkaitan dengan otot-otot kasar seperti merangkak, memanjat, berjalan dan berlari. Manakala motor halus berkaitan dengan hal yang menggunakan saraf seperti melakar dan melukis.

    Elizabeth B Hurlock (1978: 159) menyatakan bahawa perkembangan psikomotor membawa maksud sebagai perkembangan dari unsur kematangan pengendalian gerak tubuh dan otak sebagai pusat gerak. Perkembangan psikomotor juga merupakan perubahan keterampilan motor dari lahir sampai umur lima tahun yang melibatkan berbagai aspek tingkahlaku dan keterampilan motor. Bayi akan mengembangkan daya kreativitinya. Kemahiran ini diperoleh menerusi aktiviti dan projek berkaitan seni visual yang mengutamakan proses, berbanding dengan hasilan akhir.


Perkembangan Kognitif

    Perkembangan awal kognitif tidak semestinya menunjuk kecerdikan bayi kerana kematangan sistem saraf adalah berdasarkan sejarah keluarga. Penunjuk pada kecerdikan otak bayi seperti senyuman awal, kepekaan, daya tumpuan dan ingatan yang baik, percakapan awal dan minat yang meningkat terhadap permainan. Sama ada kepintaran bayi lebih nyata dalam satu bidang atau adalah seorang yang serba berkebolehan, penjagaan dan pemakanan yang berkualiti, juga persekitaran kasih saying yang diberikan oleh keluarganya. Bayi akan berusaha mencari keseimbangan antara struktur kognitifnya dengan pengalaman-pengalaman baru. Ketidakseimbangan memerlukan penyesuaian yang baru serta merupakan transformasi ke tahap berikutnya. Berdasarkan beberapa pendapat di atas disimpulkan bahawa faktor kognitif mempunyai peranan penting bagi keberhasilan anak dalam belajar kerana sebagian besar aktiviti dalam belajar selalu berhubungan dengan masalah mengingat dan berfikir.

    Secara umumnya, perkembangan kognitif dimaksudkan dengan bayi mampu melakukan eksplorasi terhadap dunia sekitar melalui panca inderanya sehingga dengan pengetahuan itu bayi akan terus berkembang dalam hidupnya. Ini juga membawa maksud bahwa kemampuan bayi untuk mengumpul maklumat dan menyelesaikan masalah. Faktor yang mempengaruhi perkembangan kognitif menurut Piaget dalam Siti Partini (2003: 4) bahawa “pengalaman yang berasal dari lingkungan dan kematangan, keduanya mempengaruhi perkembangan kognitif anak”. Sedangkan menurut Soemiarti dan Patmonodewo (2003: 20) perkembangan kognitif dipengaruhi oleh pertumbuhan sel otak dan perkembangan hubungan antara sel otak. Kondisi kesihatan dan gizi makanan bayi walaupun masih dalam kandungan ibu akan mempengaruhi pertumbuhan dan perkembangan anak. Menurut Piaget dalam Asri Budiningsih (2005: 35) makin bertambahnya umur seseorang maka makin komplekslah susunan sel sarafnya dan makin meningkat pada kemampuannya. Ketika bayi berkembang menuju kedewasaan akan mengalami adaptasi biologi dengan lingkungannya yang akan menyebabkan adanya perubahan-perubahan kualitatif di dalam sruktur kognitifnya.

    Berdasarkan beberapa pendapat di atas dapat disimpulkan bahwa faktor utama yang mempengaruhi perkembangan kognitif anak adalah faktor kematangan dan pengalaman yang berasal dari interaksi bayi dengan lingkungannya. Dari interaksi dengan lingkungan, bayi akan memperoleh pengalaman dengan menggunakan asimilasi, akomodasi, dan dikendalikan oleh prinsip keseimbangan. Pada bayi, pengetahuan itu bersifat subjektif dan akan berkembang menjadi objektif apabila sudah mencapai perkembangan remaja atau dewasa.


Perkembangan Sosial Emosi

    Perkataan emosi berasal daripada perkataan Latin motere yang bermaksud bergerak.Emosi atau motus anima secara literal bermaksud “semangat yang menggerakkan kita”(Cooper dan Sawaf, 1997). Dengan kata lain, emosi secara implisit cenderung untuk bertindak. Hakikat ini jelas apabila data yang diperolehi daripada kajian-kajian neurobiologi memperlihatkan bahawa setiap emosi mempersiapkan tubuh bayi dengan sejenis tindak balas biologi. Misalnya, apabila muncul emosi marah maka tambahan darah mengalir di tangan dan ini menyebabkan ia mudah untuk mengambil sesuatu seperti senjata, degupan jantung meningkat dan hormon seperti adrenalin banyak dihasilkan untuk membentuk tenaga yang kuat untuk bertindak. Emosi juga merupakan satu perasaan afektif yang dialami oleh seseorang individu dalam sesuatu keadaan yang memberi makna kepada dirinya. Selain itu, emosi juga ditakrifkan sebagai tindak balas atau kebangkitan yang ditonjolkan keluar sebagai ransangan kepada perasaan. Jadi proses ini dekenali sebagai Sosiol emosi dalam kalangan bayi.

    Syamsu Yusuf (2007), pula menyatakan bahawa perkembangan sosial emosi merupakan pencapaian kematangan dalam hubungan sosial. Perkembangan sosial emosi dapat pula diertikan sebagai proses seseorang belajar untuk menyesuaikan diri terhadap norma-norma kelompok, moral dan tradisi dengan meleburkan diri menjadi satu kesatuan dan saling berkomunikasi dan bekerjasama. Selain itu, perkembangan sosiol emosi juga merupakan satu proses apabila bayi belajar berhubung dengan orang lain mengikut cara yang dapat diterima oleh masyarakat dan budayanya. Kanak-kanak usia setahun mula belajar bergaul, berinteraksi dan meluahkan perasaan. Mereka semakin membesar dan pastinya perkembangan emosinya berbeza seperti gembira dan marah. Ibu bapa perlu mengasuh kanak-kanak dengan mendengar perasaan yang diluahkan dan bimbing mereka ke arah emosi yang positif. Jangan dibiarkan menangis berterusan tanpa mengambil berat emosinya. Tenangkan mereka supaya tidak menangis berpanjangan. Minta mereka memberitahu masalah dan berikan dorongan atau pujian sekiranya mereka boleh menguasai emosinya.


Perkembangan Bahasa

    Bayi yang baru dilahirkan hinggalah umurnya 6 minggu walaupun tidak boleh memahami percakapan serta bercakap tapi ianya tidak tuli. Suara yang dikeluarkan pada masa ini ialah tangisan dan bunyi-bunyi yang mudah. Seterusnya bila umur bayi meningkat kepada 6 minggu hingga 3 bulan bunyi bertempek dan mengogok yang dikenali sebagai ‘cooing’ mula terdengar. Bayi pada masa ini sudah dapat mengidentifikasikan (bergerak balas) sesuatu bunyi yang dihasilkan oleh manusia dengan cara mengarahkan mukanya kepada bunyi itu dan mata mereka kelihatan mencari siapakah yang bercakap. Bila berumur lebih daripada dari 20 minggu bunyi ‘cooing’ itu yang ‘vowel-like’ lebih bercampur dengan bunyi konsonon, geseran lidah, putaran dan nasal.

    Pada tahap umur 6 bulan bunyi ‘cooing’ mula bertukar kepada bunyi ‘babbling’ yang merupakan sebutan ‘one-syllable’ iaitu bukan vowel juga bukan konsonan. Bunyi yang selalu dikeluarkan ialah ma, mu, da atau di. Hingga umur kanak-kanak 8 bulan pengulangan bunyi tadi agak bertambah malah kalau nada bunyi tadi agak ketara ianya mungkin melambangkan perasaan dan penekanan tertentu. Semasa umur 10 bulan kanak-kanak kelihatan cuba meniru bunyi seperti dengan cara ‘gurgling’ dan bermain air liur. Tetapi peniruan ini tidak begitu berjaya. Kanak-kanak pada umur ini juga mula membezakan antara perkataan yang didengar dengan membuat beberapa penyesuaian yang berbeza.

    Pada peringkat umur 12 bulan hingga 24 bulan, bayi sudah mula menunjukkan tanda memahami beberapa perkataan dan perintah yang senang. Contohnya “unjukkan mata”. Semasa umur 18 bulan kanak-kanak telah mempunyai perkataan yang berangkai tapi tidak lebih dari tiga. Perkataan pada umur ini boleh termasuk terima kasih. Walau bagaimanapun mereka tidak berupaya lagi untuk menyambungkan dua item sekaligus, tetapi pemahaman adalah meningkat dengan cepat sekali. Pada peringkat umur 24 bulan kanak-kanak sudah mempunyai jumlah perbendaharaan kata lebih dari 50 item. Setengah kanak-kanak boleh menamakan semua yang biasa ada dalam persekitarannya.

    Secara umumnya, bayi akan mengalami perubahan daripada tahap mengeluarkan bunyi-bunyian kepada penerimaan, kefahaman dan mengeluarkan kata-kata sebagai tindak balas kepada rangsangan. Dia akan belajar menyebut apa sahaja yang didengarkannya. Sama ada melalui percakapan ibu bapa, bahan bacaan yang dibaca kepadanya, menonton televisyen dan mendengar radio. Walaubagaimanapun, kajian-kajian lepas menunjukkaa terdapat hubungan kecerdasan ibubapa dengan kecekapan berbahasa bagi seseorang kanak-kanak. Faktor persekitaran juga penting kepada perkembangan kanak-kanak seperti cara ibubapa berkomunikasi dan jantina anak-anak.


Penutup

    Sehubungan itu, dalam tahap perkembangan bayi ini, dapat disimpulkan pada umur 0 hingga 3 bulan, bayi berupaya bertindak balas jika ibu bapa menyentuhnya dengan lembut pada pipi atau bahagian sensitif lain seperti tapak tangan dan kaki. Dalam tempoh ini juga, kemahiran motor bayi mulai terbentuk dengan baik. Bayi boleh menoleh kepala ke kiri dan ke kanan dan meluruskan tangan serta kaki. Mata bayi sudah boleh melihat tetapi tidak fokus. Pada usia enam minggu, bayi boleh tersenyum. Pada usia lapan minggu bayi akan mengeluarkan bunyi tetapi sukar difahami. Kepala bayi sudah boleh diangkat apabila dibaringkan secara meniarap. Pada usia tujuh hingga lapan minggu bayi sudah boleh memegang alat permainan lembut dalam tempoh sekejap. Pada usia sembilan minggu pula, bayi sudah boleh melihat dari satu objek ke objek lain. Dalam tempoh ini, permainan yang sesuai untuk bayi adalah alat permainan yang mengeluarkan bunyi untuk merangsang kemahiran pendengarannya.

    Sekitar umur 3 hingga 6 bulan bayi sudah boleh berguling dari perut ke belakang dan sebaliknya. Bayi juga boleh mencapai objek dan menggoncang permainan. Bayi sudah boleh memegang dua permainan sekali gus dan meletakkannya dalam mulut. Bayi mula mengangkat dadanya apabila dibaringkan secara meniarap. Pada usia 16 minggu bayi sudah mulai menendang-menendang kakinya. Genggaman tangan bayi mulai kejap dan kemahiran motornya kian mantap. Bayi boleh mengangkat kepalanya dalam masa yang agak lama. Pada usia ini ibu bapa boleh menyanyi untuk menceriakan bayi dan merangsang kemahiran lisannya.

    Seterusnya, sekitar 6 hingga 9 bulan bayi mulai menolak dirinya dengan menggunakan kedua-dua tangan, perut dan lutut. Mata bayi mulai fokus dan mengekori pergerakan anda di sekeliling rumah. Bayi juga mulai merangkak dan boleh menggunakan genggaman hujung jari yang melibatkan jari telunjuk dan ibu jari untuk mengambil objek kecil. Bayi seterunya berupaya berdiri dengan sokongan pelbagai barang dalam rumah seperti kabinet, rak, meja dan sebagainya. Kemudian, bayi mulai berjalan dengan bantuan barang-barang sokongan seperti perabot. Bayi mengeluarkan pelbagai bunyi suku kata seperti ‘ba’ atau ‘da’ yang jelas tetapi tidak difahami. Pada peringkat ini, ibu bapa boleh mengajar anak menyebut perkataan yang mudah untuk merangsang kemahirannya bercakap.

    Pada umur bayi 9 hingga 12 bulan pula, bayi mulai boleh berdiri dengan sendiri tanpa bantuan perabot. Sesetengah bayi mulai memulakan langkah pertama pada usia 41 minggu. Bayi juga berminat menolak kereta sorong dan memegang objek yang lebih besar seperti bola. Bayi juga boleh memegang objek yang halus seperti pensel dengan cermat. Bayi boleh mengenali ahli keluarganya dengan jelas seperti ibu, bapa dan adik-beradik. Sudah memahami arahan mudah anda seperti ‘jangan’. Bayi gemar bermain ‘sorok barang’ dengan anda. Ibu bapa boleh mengajak anak bermain ‘sembunyi-sembunyi’ akan merangsangnya menjadi lebih fokus ketika melihat.

    Pada usia bayi 12 hingga 24 bulan kanak-kanak biasanya sudah pandai berkata-kata. Contohnya. “Mana mama?” Ketika bercakap, mereka akan fokus terhadap apa yang mereka cakapkan itu. Semasa membaca buku bersama, mereka turut menyebut nama objek-objek yang ada di dalamnya. Kanak-kanak dua tahun juga semakin pandai naik dan turun tangga. Boleh membuka zip yang bersaiz besar. Sudah pandai melukis. Semakin pandai memegang dan menggunakan sudu. Ibu bapa boleh memberi anak anda sudu dan garpunya sendiri ketika makan untuk merangsang kemahirannya memegang sesuatu benda. Begitulah uniknya tahap perkembangan bayi yang perlu diketahui oleh setiap insan yang bergelar ibu dan bapa.

Disediakan Oleh:
Johari Bin Md Salim, Kaunselor BSM
Nurul Adha Abdul Latif, Kaunselor KMS
Khairul Azwan Mat Amin, Kaunselor KPMAM