Perutusan Pengerusi PEKAMARA


Assalamualaikum

    Alhamdulillah, terlebih dahulu, marilah kita sama-sama mengucapkan setinggi-tinggi kesyukuran ke hadrat Allah dan limpah kurniaNya, di samping selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W. Sesungguhnya PEKAMARA sangat bermakna ini adalah merupakan satu inisiatif penting buat kita semua dalam memperkasakan perkhidmatan kaunseling di MARA secara berkesan dan menyeluruh.

    Kita sebagai pengamal kaunseling dan psikologi perlu meningkatkan kefahaman kita mengenai kepentingan menjaga dan memelihara kesihatan diri khususnya berkenaan minda atau mental dalam pembangunan kesejahteraan diri dan keluarga. Ini selaras dengan saranan kerajaan yang mahukan supaya pembangunan kesejahteraan mental diberi perhatian khusus dalam perkhidmatan awam bagi memastikan individu yang bekerja itu menyedari keupayaan dan keseimbangan diri yang baik, dapat mengawal tekanan dengan berkesan, serta dapat bekerja secara produktif dan aktif bagi menyalurkan mutu dan sumbangan perkhidmatan kepada masyarakat secara yang terbaik dan sejahtera.

    Kajian psikologi menunjukkan bahawa, mereka yang mempunyai emosi yang stabil dan positif mampu menggerakkan individu untuk lebih bertenaga, bersemangat dan berkeupayaan menyelesaikan masalah serta membuat keputusan yang inovatif, fleksibel dan kreatif. Justeru, kebolehan dan kemahiran pegamal kaunseling dalam membimbing dan menganalisis perwatakan manusia diperlukan dalam menjana perubahan kualiti kehidupan yang lebih bermakna. Antara lain yang saya ingin kongsikan bahawa psikologi juga melihat secara mendalam tentang kaitan kesejahteraan mental kepada setiap individu melalui 3 bahagian utama iaitu bagaimana ia berfikir (kognitif), bagaimana ia bereaksi (afektif) dan bagaimana ia bertindak (psikomotor).Ketiga-tiga bahagian ini memerlukan sokongan dan ikatan satu sama lain dengan peranan pengamal-pengamal profesional seperti Kaunselor dan Ahli Psikologi akan dapat membantu menguruskan kesejahteraan manusia melalui Emotional dan Social Intelligence (ESQ). Kita sangat sedar bahawa sokongan interpersonal, empati, dan komitmen kepada hubungan membantu dalam membina kekuatan diri adalah amat penting bagi pembangunan Modal Insan yang unggul dan berkualiti dalam kehidupan seharian.

    Kebelakangan ini kita dibelenggu banyak kes-kes yang menakutkan kita bersama terutamanya kes bunuh sesama ahli keluarga, kejadian membakar kenderaan, menembak dan sebagainya yang sangat signifikan dengan soal kesihatan mental seseorang individu dalam masyarakat. Hal ini sepertimana yang dinyatakan tadi, apabila seseorang individu itu, tidak mampu mengawal kognitif iaitu cara pemikirannya, ditambah lagi tidak berupaya mengawal afektifnya akhirnya akan mengundang ke arah tindakan yang melulu dan mengakibatkan kejadian seumpama tadi berlaku. Kita lihat juga unsur psikologi manusia yang bersifat mudah terasa hati, sentiasa tidak berpuas hati, murung, cepat berasa nak marah, antara lain gejala yang mengundang ke arah isu dan permasalahan ini. Untuk itu, simptom-simptom seumpama ini memerlukan kepakaran dan analisis yang mendalam daripada tuan/puan sendiri dalam berkolaborasi secara bersama bagi mencari kaedah yang terbaik dalam membantu menangani permasalahan ini dengan lebih komprehensif dan sejagat.

    Saya sangat berkeyakinan sekali lagi, PEKAMARA boeh menjadi platform dan wadah dalam membantu warga kerja MARA juga komuniti menerusi pendekatan psikologi dan kaunseling. Semoga para kaunselor dan psikologi semua dapat merealisasikan visi dan misi persatuan dengan komitmen dan kesungguhan dalam membantu usaha murni kesejahteraan kesihatan yang lebih harmonis.

Sekian, Assalamualaikum.