Sesi Kaunseling

Perkhidmatan Kami

Pengenalan Perkhidmatan Kaunseling

    Kaunseling merupakan cabang psikologi yang membabitkan proses perhubungan atau interaksi secara profesional dengan kaunselor berdaftar mengikut etika yang dibenarkan (Akta Kaunselor 1998). Perkhidmatan kaunseling merupakan satu perkhidmatan menolong yang diberikan kepada orang lain yang menghadapi masalah supaya individu dapat mengatasi masalaah dan mencapaai kesejahteraan hidup. Individu yang memberi khidmat kaunseling dinamakan kaunselor. Profesion kaunseling mempunyai asas saintifik dan objektif dalam bidang psikologi, sosial, psikiatri, antropologi dan sastera (Taniza Toha 2003). Menurut Melati Sumari et.al (2015) program kaunseling dilaksanakan untuk melahirkan satu perubahan, penyesuaian dan perkembangan yang positif di dalam diri klien terhadap sesuatu permasalahan. Proses ini akan mengakibatkan pembentukan atau penjelasan matlamat dan nilai hidup individu hingga dia dapat membentukan tindakan yang wajar untuk masa depannya. Kaunseling ertinya suatu proses sistematik untuk membantu perhubungan berdasarkan prinsip-prinsip psikologi yang dilaksanakan oleh Kaunselor Berdaftar mengikut kod etika kaunseling untuk mencapai suatu perubahan kemajuan dan penyesuaian yang holistik, baik dan sukarela pada diri klien supaya perubahan, kemajuan dan penyesuaian itu akan berterusan sepanjang hayat klien (Akta Kaunselor Malaysia (1998) m.s 8). Kaunseling bukan nasihat sebaliknya hubungan dua hala dengan kaunselor berperanan untuk mendengar dan memahami serta menolong memberikan layanan serta interaksi yang baik (Mizan Adiliah & Halimatun Halaliah, 2006). Kaunseling adalah proses pertolongan professional yang bertujuan membantu individu memahami dirinya dan alam sekeliling (Mizan Adiliah, 2014).


Kaunseling Individu

    Kaunseling individu merujuk kepada proses perhubungan di antara seorang kaunselor yang terlatih dengan seorang klien yang mempunyai masalah drinya. Ia bertujuan untuk membantu klien memahami ruang hidupnya, serta mempelajari membuat kaedah keputusan sendiri melalui pilihan-pilihan yang bermakna dan yang berasaskan maklumat serta melalui penyelesaian masalah yang berbentuk emosi dan peribadi (Burk dan Stefflre 2000, 1979) dalam Che Othman (2014). Sapora, Ahmad Jazimi dan Hapsah (2003) menyatakan kaunseling individu merujuk kepada satu pertemuan antara seorang kaunselor dengan seorang klien untuk mewujudkan satu proses perhubungan atau interaksi professional. Kaunseling individu ialah proses kaunseling yang berlangsung di antara seorang kaunselor dengan seorang klien secara dua hala dan bersemuka yang bertujuan untuk membantu klien yang datang dengan pelbagai matlamat (Amla Salleh, Zuria Mahmud & Salleh Amat, 2006). Dalam proses kaunseling individu, suasana kepercayaan dan teraputik lebih mudah diwujudkan berbanding kaunseling kelompok. Menerusi proses kaunseling individu akan membantu individu menyelami dengan mendalam perasaan, pemikiran dan tingkah lakunya dalam peristiwa yang dialami. Proses kaunseling juga akan membantu menggerakan celik akal dan meningkatkan momentum klien untuk melakukan penambahbaikan kendiri. Proses pendidikan yang berterusan menerusi sesi ini akan menyedarkan klien potensi diri dan peluang untuk melihat alternatif dalam mengurus isu yang diutarakan.


Kaunseling Kelompok

    Kaunseling kelompok berbeza dengan kaunseling individu kerana kaunselor berinteraksi bukan dengan seorang klien, tetapi dengan beberapa orang. Kelompok meruapkan pengumpulan beberapa orang individu yang berinteraksi serta mempunyai perhubungan psikologi antara satu sama lain (Ee Ah Ming, 2014). Kaunseling kelompok adalah proses seorang kaunselor terlibat dalam hubungan dengan beberapa orang klien pada masa yanag sama dan jumlah klien adalah berbeza-beza iaitu diantara empat hingga lapan orang (Shertzer dan Stone 1981). Mcleod (2007) dalam Ee Ah Ming et al (204) menjelaskan kelompok sebagai proses menggunakan intervensi kelompok untuk memudahkan pemahaman diri dan juga perubahan tingkah laku individu. Dalam Kaunseling kelompok ia merupakan satu himpunan atau koleksi individu yang saling berinteraksi secara berhadapan dengan semua ahli menyedari kehadiran atau kewujudan ahli didalamnya. Melalui kaunseling kelompok, ahli boleh mengetahui dan mempelajari kemahiran perhubungan melalui interaksi sepanjang sesi. Ahli turut berpeluang mengalami pengalaman kelompok dengan pelbagai kisah dan peristiwa yang dikongsi dalam kelompok. Dinamika yang wujud ini akan menggerakkan pendidikan dan pertumbuhan secar tdak langusng dalam diri setiap ahli sama ada aspek kognitif mahupun afektif. Ia meransang setiap ahli untuk merasai kefungsian dalam kehidupan dan belajar untuk menghargai diri dan orang lain. Menerusi sesi ini juga setiap ahli akan lebih menyedari keunikan dan keistimewaan setiap individu. Ahli juga akan mempunyai sistem sokongan dari kelompok bagi menggerakkan diri ahli yang mengalami sekatan dalam hidupnya. Hasil atau arah kelompok adalah untuk membantu dan membawa ahli kepada pemahaman diri dan kemudian berusaha untuk membantu diri sendiri dengan bantuan maklumbalas ahli (Che Othman, 2014).


Kaunseling Organisasi

    Menurut Fadzil Che Din (2009), perkhidmatan kaunseling organisasi merupakan satu perkhidmatan yang dikendalikan oleh kaunselor berdaftar. Perkhidmatan yang diberikan dijangkakan dapat membantu mengurangkan ataua menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh pekerja seperti masalah peribadi, sosial, kerjaya serta keluarga yang menyebabkan mereka tidak dapat berfungsi sepenuhnya di tempat kerja hingga menjejaskan produktiviti organisasi mereka. Perkhidmatan ini menyokong pencapaian matlamat organisasi disamping dapat menambah atau sekurang-kurangnya mengekalkan prestasi pekerja. Hamdan (2009) pula mendefinisikan kaunseling organisasi sebagai satu proses untuk menangani permasalahan individu atau kumpulan yang berkaitan dengan kerja mereka sama ada masalah mencari, memilih dan juga menyesuaikan diri dengan pekerjaan mereka mahupun hal-hal lain yang bersangkut-paut dengan kerja atau tempat kerja mereka. Menurutnya lagi, kaunseling organisasi merupakan satu bentuk usaha untuk membantu pekerja menyelesaikan masalah peribadi masing-masing atau yang bersangkutan dengan pekerjaan seharian.

Sekiranya berminat hubungi hotline PEKAMARA : 03-26134390